Jika ada manusia yang berkata,
alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman
lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada
manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan
dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
Malangnya, keinginan manusia untuk
bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa
makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk
mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali,
sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu
mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah
erti bahagia?
Ada yang beranggapan erti bahagia
itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang
lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat,
kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang
lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang
tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka
beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita.
Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar
ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam
realiti dan kenyataan.
Sebelum mendapat jawapan tentang
erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia
datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in)
atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia
itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa,
nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika
berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan
cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang
berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa
dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak
popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah
hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
Sekadar hiasan
Realitinya, sudah menjadi “rules of
life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada
seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak
disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira
kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik
amalannya.” Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang
berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati?
Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle
Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang
berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada
cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk
akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej
kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan
sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan
diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth
Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan
badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan
bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand
Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi.
Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah
menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan
mencari kebahagiaan.
Bukti hilangnya bahagia
.
Tidak payah kita berhujah
menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah
cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya
itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa
yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda
pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang.
Mereka yang terlibat dengan arak,
rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah
tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki
tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan
peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa
yang cantik dan nama yang popular itu.
Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih
dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini?
Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan
lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian
hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan
pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana
hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak
boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada
seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji. Atas dasar itu, ujian hidup bukan
penyebab hilangnya bahagia.
Punca
Hati?
Hati yang sakit ialah hati yang
dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa,
putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi.
Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang
sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah
rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak,
gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan
lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan
tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya
hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia
menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas
terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke
dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas
lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding
segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan
itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
Inilah erti bahagia...
Secara mudah kebahagiaan itu ialah
memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan.
Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran.
Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah
bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik,
baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh
badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu
sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang
dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan
serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah
seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak
kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan
kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam
dengan mudah dan secara “auto pilot”.
Mudah-mudahan ianya menjadi renungan
untuk kita semua INSYAALLAH.